Seorang pemandu mati rentung akibat tersepit dalam kenderan yang terbakar selepas terbabas di Kilometer 10 Jalan Bukit Pasir – Tongkang Pechah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pada jam 11.10 malam itu, kenderaan dipandu mangsa dari arah bandar Batu Pahat ke Yong Peng hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh titi batu.
“Akibat kemalangan itu, kenderaan tersebut terbakar menyebabkan pemandu berusia 43 tahun yang tersepit, rentung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ismail, dua lagi penumpang masing-masing berusia 27 dan 25 mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk menerima rawatan,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kejadian itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Firdaus Ahmad berkata, sembilan anggota bomba, dua jentera dan satu EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 10.54 malam.
Beliau berkata, sebaik tiba pihaknya mendapati pemandu yang tersepit dalam kenderaan 90 peratus terbakar itu, meninggal dunia akibat rentung dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Dua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya.
Baca Juga: Polis terdiam wanita laung takbir ketika ditahan tak pakai helmet, selepas itu dia dilepaskan