Kadang-kadang dalam hidup ini, ada beberapa kejadian yang berlaku di luar pemikiran kita, sekali gus mengundang rasa pelik.
Macam satu cerita ini, seekor kucing hitam mengejutkan pemiliknya selepas ia mengheret kepala seekor aligator ke halaman rumah tuannya di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS).
Stesen televisyen Fox 6 Milwaukee kelmarin melaporkan, pemilik kucing hitam tersebut, Wendy Wiesehuegel terkejut apabila haiwan peliharaannya yang bernama Burnt Toast membawa pulang penemuan di luar jangkaan itu.
Pada mulanya, jiran-jiran wanita itu menyangka Burnt Toast mengheret bangkai ikan besar.
Ketika bercakap kepada stesen televisyen itu, Wiesehuegel berkata, haiwan peliharaannya kelihatan seperti sangat bangga ketika membawa pulang kepala aligator tersebut.
Terkejut dengan kejadian itu, wanita berkenaan menghubungi Jabatan Sumber Asli, manakala seorang kakitangan pemuliharaan, Tim Aspenson menyatakan bahawa ahli-ahli biologi hidupan liar perlu mengesahkan ia kepala seekor aligator.
Wiesehuegel memberitahu, dia mungkin pernah melihat aligator itu di sebuah tasik berhampiran rumahnya beberapa hari sebelumnya.
Sementara itu, Aspenson berkata bahawa dia percaya kepala itu berasal daripada aligator sebenar yang berkemungkinan memiliki panjang 0.91 meter.
Menurutnya, aligator tersebut mungkin haiwan peliharaan yang berjaya lolos atau dilepaskan ke habitat liar oleh pemiliknya.
Bagaimanapun, Aspenson tidak dapat memastikan bagaimana nasib haiwan itu berakhir tanpa kepala.
Aligator ialah reptilia mirip buaya yang hidup di habitat liar di AS.
Baca Juga: Tak habis dengan gimik, Nabila Razali dikritik ‘gagal’ lontar nada tinggi
Baca Juga: Bantu wanita miskin tegar, Selangor bakal beri tuala wanita percuma