Zaman sekarang penculik tidak lagi bersusah payah menyusun strategi untuk menculik kanak-kanak. Mereka memilih jalan pintas dengan menculik kucing baka mahal dan meminta wang tebusan daripada tuan kucing.
Seorang lelaki diperas ugut untuk membayar wang tebusan sebanyak RM6,000 jika dia mahukan kucingnya selamat, jika gagal membayar kucing tersebut akan dibuang ke dalam sungai.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia, kejadian itu berlaku di Taman Kwan Ming, Kuching, Sarawak apabila kucing tersebut dilaporkan hilang pada 1 September lalu.
Menurut pengadu, dia kemudiannya menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp pada 3 September dari seorang individu tidak dikenali mengaku menculik haiwan terbabit dengan menyertakan gambar dan video kucing miliknya.
“Penculik mengugut pemilik untuk melemparkan kucing ke dalam sungai berdekatan jika pemilik gagal membuat bayaran wang tebusan.
“Penculik juga telah memberi amaran kepada pemilik supaya hadir membawa wang yang diminta seorang diri dan tidak membuat tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penculik,” tulis Animal Malaysia di laman Facebooknya.
Susulan kejadian itu kata Animal Malaysia, pemilik kucing telah membuat satu laporan polis sehari selepas ugutan diterima di Balai Polis Sekama, Kuching, Sarawak.
Buat pencinta haiwan pastinya kucing tersebut diibaratkan seperti anak sendiri. Diharap pihak polis boleh membantu siasatan tersebut agar kes seperti ini tidak berulang lagi.
Buat manusia yang mahukan duit cepat, janganlah guna cara paling hina ini dengan menculik haiwan yang tidak bersalah. Carilah kerja selagi kudrat masih ada.
Baca Juga: Masuk pertandingan suka-suka sahaja, Ifa Raziah tak hadap pun RM100 ribu