Lelaki warga Singapura dilaporkan hilang ketika mendaki bersama rakannya di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, kelmarin, ditemukan selamat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora memaklumkan, Jason Ren Jie berusia 30-an ditemukan selamat oleh orang awam setelah mangsa berjaya keluar sendiri dari hutan kira-kira 2.20 petang.
Menurut Hussin, pihaknya menerima panggilan telefon dari orang awam pada 2.22 petang memaklumkan menemui seorang lelaki di Kilometer 52, Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran Kubu Jepun (Batu 15).
“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Response Team digerakkan ke lokasi penemuan dan mangsa dalam keadaan selamat dengan hanya mengalami luka-luka kecil. Dia dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masuk hari kedua di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, dimulakan 10 pagi semalam.
Ia membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kota Tinggi.
Sementara itu, Hussin berkata, mangsa dan rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut memandangkan mereka tidak mendapatkan kebenaran dan permohonan permit bagi memasuki Kawasan Hutan Simpanan Kekal.
Beliau menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan supaya mendapatkan permit kebenaran terlebih dahulu daripada Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi.
Hussin turut menasihati orang ramai agar mendapatkan khidmat malim gunung dan memaklumkan pergerakan masuk serta keluar kepada Balai Polis terdekat untuk mengelak kejadian sama berulang.
Dalam kejadian kelmarin, lelaki berkenaan dilaporkan hilang kira-kira 1 tengah hari selepas mendaki bersama rakan lelakinya yang juga warga tempatan.
Baca Juga: Gempa bumi landa tenggara Taiwan
Baca Juga: Etnik Rohingya sanggup habiskan RM7,000 demi kad UNHCR