Seorang lelaki digelar ‘pengundi India pertama’ dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 105 tahun.
Menurut laporan BBC, Shyam Saran Negi didakwa menjadi individu pertama membuang undi ketika India mengadakan pilihan raya umum pertama selepas memperoleh kemerdekaan daripada British.
Sejak itu, Negi akan mengundi dalam setiap pilihan raya umum yang berlangsung di negara berkenaan.
Sempena pilihan raya tempatan di negeri Himachal Pradesh, warga emas itu juga dilaporkan sempat membuang undi beberapa hari sebelum kematiannya.
Bekas pesara guru itu berkemungkinan menjadi individu pertama yang mengundi dalam era India merdeka kerana Himachal Pradesh membuka lima pusat undi selama lima bulan lebih awal pada 1951 untuk pilihan raya umum 1952 bagi mengelakkan salji tebal.
Pada 2014, Negi menjadi duta Suruhanjaya Pilihan Raya India sebagai kempen menggalakkan masyarakat mengundi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Narendra Modi merakamkam ucapan takziah kepada keluarga Negi dan mayatnya akan dibakar dalam upacara penuh penghormatan di kampungnya di Kalpa.