Percutian mewah Hairul Azreen di New Zealand bersama anak-anak dan isteri mencuri perhatian netizen sehingga menimbulkan spekulasi.
Video percutian bersama isteri, Hanis Zalikha dan dua anak mereka, Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah memaparkan mereka menaiki helikopter menuju ke sebuah lokasi pergunungan bersalji di New Zealand.
Video tular itu mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen yang mendakwa Hairul dan Hanis ‘berhabis’ dalam percutian mewah di luar negara.
Bagi bintang filem Bakara ini tiada yang lebih diutamakan melainkan menggembirakan keluarga dengan rezeki yang diperoleh selama ini.
Hairul mengaku membawa keluarga bercuti di New Zealand selama 10 hari sebagai hadiah kepada insan tersayang, selain ganjaran kepada diri sendiri yang penat mencari rezeki.
“Saya bekerja dan apabila ada masa bawa keluarga bercuti. Itu sahaja tujuan hidup saya sekarang. Jadi, saya cari duit dan kemudian buat keluarga gembira.
“Sebenarnya, sebelum percutian itu, saya menjalankan penggambaran filem Bakara di Turkiye. Selepas tiga atau empat hari pulang, saya dan Hanis merancang dan putuskan untuk ke New Zealand.
“Sejujurnya, saya bekerja untuk menggembirakan keluarga, sama juga dengan Hanis,” katanya dipetik BH Online.
Tambah bintang filem Paskal ini, sejak dahulu lagi, sejak kerja mengecat jalan dia lebih cenderung mengisi masa terluang atau mengambil cuti dengan melakukan perkara yang menggembirakan hatinya, apatah lagi, sejak berkeluarga.
“Dari dahulu lagi. Ketika itu, apabila hari cuti, saya pergi mandi air terjun.
“Sebenarnya, perkara ini (percutian) bergantung kepada diri kita. Contohnya, kalau gaji RM1,500 sebulan, kadang-kadang kita rasa tidak mampu untuk membeli sesuatu.
“Saya pernah merasai hidup begitu. Jadi, saya hanya mandi air terjun kerana tidak perlu banyak belanja,” katanya.
Hairul berkata, setiap orang perlu memberi ganjaran kepada diri sendiri dan keluarga selepas membanting tulang bekerja.
Menjawab kemusykilan netizen terhadap kemewahan dimilikinya, Hairul menjelaskan, selain berlakon, dia melakukan pekerjaan lain bagaimanapun beliau hanya mahu dikenali sebagai pelakon sahaja.
“Biarlah orang tahu saya berlakon sahaja. Saya ada buat kerja lain tetapi tidak perlu bercerita.
Sebelum ini, Hairul sering mencuri perhatian netizen dengan percutian mewah di beberapa lokasi di luar negara antaranya Maldives, United Kingdom (UK) dan Australia.
Malah, pernah tersebar kisah dia menaiki jet peribadi bersama jutawan terkenal, Tan Sri Vincent Tan.
Dalam perkembangan lain, Hairul akan tampil dengan filem arahannya, Ada Hantu 2. Filem lakonan Zahiril Adzim itu ditayangkan di pawagam tempatan mulai 15 September depan.
Baca juga:
Wanita enggan teruskan hubungan cinta ditetak, ditikam teman lelaki kerana terlalu marah
Baca juga:
Netizen sebak, anjing cium anggota ATM buat kali terakhir kerana akan bersara tidak lama lagi