Umum sedia tahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menjalani penjara 12 tahun di Penjara Kajang, maka permohonan untuk beliau menghadiri Parlimen pada 19 September lalu ditolak Jabatan Penjara Malaysia (JPM) atas faktor keselamatan.
Perkara itu dinyatakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas perbicaraan Najib, 69, dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pihaknya dikatakan telah mengemukakan permohonan bagi membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu ke Parlimen pada 19 September lalu namun JPM telah menolak permohonan tersebut.
“Pihak penjara telah menolak permohonan kami untuk membenarkan Najib menghadiri sidang Parlimen atas faktor keselamatan.
“Saya rasa agak tersilap, pastinya parlimen lebih selamat daripada mahkamah. Oleh kerana permohonan ditolak, kami telah menulis rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, dan menulis surat kepada speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun,” katanya.
Tambah Muhammad Shafee lagi, Najib masih lagi seorang ahli parlimen dan sepatutnya dia diberikan hak untuk hadir pada sidang parlimen yang mana hak untuk berjumpa dengan wakil dan rakyat dikawasannya.
Baca Juga: Harga minyak masak 5kg turun kepada RM31.50 bermula Sabtu ini
Baca Juga: Belanjawan 2023 perlu utamakan langkah ke arah tangani rasuah, kata Mujahid