Pernah kalahkan JDT, KL City tak gentar lawan Al-Seeb malam ini

  • Post author:

Jadi pasukan kedua Malaysia yang layak ke pusingan akhir Piala AFC, Kuala Lumpur City (KL City) tak gentar hadapi Al-Seeb yang dibarisi sekurang-kurangnya 10 pemain kebangsaan Oman. Kejayaan mengalahkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia menjadi pemangkin semangat untuk menang Piala AFC.

Pengendali The City Boys, Bojan Hodak berkata, mereka mempunyai pengalaman menumpaskan pasukan dengan reputasi sama dalam saingan domestik dan tidak mustahil mampu mengulanginya di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Katanya, KL City pernah menewaskan juara Piala AFC 2015, JDT dalam final Piala Malaysia musim lalu walaupun rata-rata skuad Harimau Selatan itu dibarisi pemain kebangsaan lapor Utusan.

“Saya boleh jawab tiada siapa peduli perlawanan berakhir dengan cara apa kerana perkara paling penting adalah kemenangan.

“Lima tahun akan datang, tiada siapa akan ingat siapa bermain di pentas final cuma mereka mengingati pasukan yang berjaya menjulang piala.

“Apa yang boleh saya katakan, pentas final adalah perlawanan yang cukup menarik apabila setiap individu cuba mengurangkan kesilapan untuk meraih keputusan positif,” katanya.

Selain itu, Bojan berkata, terdapat beberapa pemain Al-Seeb yang perlu diberikan perhatian dalam usaha mengekang kemaraan mereka. Pemainnya akan berdepan tugas berat selepas menganggap Al Seeb memiliki kekuatan di semua bahagian.

“Al Seeb pasukan yang bagus, saya percaya mereka juga ada pengalaman beraksi di stadium penuh. Apa yang penting kami akan cuba kurangkan kesilapan dalam perlawanan itu,” katanya.

Baca Juga: Piala AFC: Hodak harap kemenangan dilakar anak buah

Baca Juga: ‘Banyak kali dapat surat pegawai kanan SUK tapi diabai saja’ – Guna kuasa yang ada bantu marhaen dari tekanan penguasa