Kasih ibu tiada gantinya, pengorbanan seorang ibu dengan pertaruhkan nyawanya demi bayi berusia enam bulan akhirnya mengundang tangisan apabila dia berjaya selamatkan bayi selepas meredah api dirumahnya.
Tindakan pantas Norazrina Mohamad, 30, itu menyelamatkan nyawa anaknya, Nur Shasya Erliya Shazrol Sharifuddin setelah rumah mereka terbakar di Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 malam semalam
Norazrina berkata, dia menduduki rumah tersebut bersama suaminya, Shazrol Sharifuddin Sulaiman, 32, serta tiga cahaya mata berusia antara enam bulan sehingga enam tahun lapor Utusan.
Ketika kejadian berlaku, Norazrina hanya bersama bayinya manakala dua lagi anaknya berada di rumah nenek. Kejadian itu disedari setelah kepulan asap hitam tiba-tiba memenuhi ruang tamu rumah berkenaan sebelum keluar dan melihat api membakar bahagian bawah rumah.
Suaminya dikatakan sedang keluar membeli makan malam ketika kejadian berlaku, dan hanya lima minit sebelum kejadian baru dia menyedari bau asap dari tingkat bawah.
“Sebaik sahaja melihat asap hitam di bahagian ruang tamu, saya keluar dan mendapati api datang dari bahagian bawah rumah dan saya bergegas masuk semula ke dalam rumah.
“Dalam keadaan asap hitam semakin memenuhi ruang, saya mendapatkan Nur Shasya Erliya dan kami keluar daripada rumah.
“Tidak dapat dibayangkan nasib menimpa anak bongsu saya itu jika saya terlewat sedikit. Saya cuba masuk semula ke dalam rumah mendapatkan dokumen penting namun dihalang orang ramai,” katanya.
Norazrina bersyukur keluarganya terselamat dalam kebakaran itu walaupun tinggal sehelai sepinggang dan tidak dapat menyelamatkan harta benda.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.11 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
Menurut beliau, setibanya di tempat kebakaran dengan kekuatan 20 orang pegawai dan anggota serta empat jentera, didapati rumah diduduki keluarga itu dijilat api 100 peratus.
Jelasnya, kebakaran itu mengakibatkan tiga buah motosikal milik mangsa juga musnah selain merebak ke dua buah rumah jiran mangsa terletak bersebelahan.
Baca Juga: Tergamak rogol gadis bawah umur, lapan remaja berdepan 18 pertuduhan kes rogol
Baca Juga: PH hanya akan menang federal jika menang kerusi Tambun, Titiwangsa