Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut apabila kenderaan yang dinaikinya, terlibat dalam nahas bersama sebuah lori muatan diesel di simpang empat Jalan Tampin Kanan, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Mohd Syah Mohd Nor 54, yang beralamat di Jalan Telok Berembang, Lubok China, Melaka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan iaitu lori jenis Hino muatan minyak diesel sebanyak 30,000 liter dan kereta Proton Iswara yang dinaiki mangsa.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori dalam perjalanan dari Pedas menghala ke Linggi dan kereta yang dinaiki mangsa telah keluar dari arah simpang Tampin Kanan tanpa berhenti sebelum menghala ke simpang Kampung Kundur Hilir.
“Sehubungan itu, pemandu lori tidak dapat mengelak lalu terlanggar sisi kiri kereta menyebabkan pemandunya, Shahrizan Abd Rahman mengalami kecederaan parah di bahagian leher, manakala penumpang meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau bagi proses bedah siasat.
Ujarnya lagi, pemandu lori yang berusia 35 tahun itu, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya
Baca Juga: Tak tahan dimarah sebab bercinta padahal baru berusia 12 tahun, anak laporkan ibu kepada polis
Baca Juga: Gadis ini akui bahagia makan makanan daripada dapur kayu, tak kisah redah belukar