Tujuh jam terperangkap dalam sebuah pesawat ringan.
Itu situasi mencemaskan dihadapi dua individu apabila kapal terbang dinaiki tersangkut pada kabel elektrik dalam kejadian di negeri Maryland.
Pesawat enjin tunggal jenis Mooney M20J itu melanggar kabel elektrik voltan tinggi dekat Goshen Road dan Rothbury Drive ketika hendak mendarat di Lapangan Terbang Daerah Montgomery, bandar Gaithersburg kira-kira pukul 5.30 petang (waktu tempatan) Ahad lalu.
Juruterbang dan penumpang berjaya diselamatkan sekitar jam 12.30 tengah malam dan dikejarkan ke fasiliti kesihatan berdekatan kerana mengalami kecederaan serius.
Seorang pegawai berkata, kedua-dua mereka mengalami kecederaan termasuk trauma serta hipotermia, bagaimanapun mereka dijangka selamat.
Menurut ketua jurucakap Perkhidmatan Bomba & Penyelamat Daerah Montgomery, Pete Piringer, kedua-dua mangsa nampak baik ketika ini, namun situasi mereka tidak menentu kerana tergantung pada ketinggian 30.5 meter pada kabel yang mempunyai aliran elektrik.
Insiden itu menyebabkan beribu-ribu penduduk setempat mengalami gangguan bekalan elektrik malam Ahad lalu.
Pasukan tindak balas kecemasan memberi fokus untuk menyelamatkan dua mangsa berkenaan yang terperangkap di dalam pesawat sebelum kerja menyambung semula bekalan elektrik dilakukan.
Pentadbiran Aviasi Persekutuan berkata, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Daerah Westchester di New York sebelum merempuh kabel pencawang elektrik tersebut.