PH lancar manifesto ‘Tawaran Harapan Kita Boleh’, Rabu depan

  • Post author:

Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifestonya dikenali sebagai ‘Tawaran Harapan Kita Boleh’ pada 2 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH Pusat, Adly Zahari berkata, ia dijangka dilancarkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Manifesto ini berasaskan kepada tiga teras paling penting iaitu kebajikan, ekonomi dan sistem yang perlu diberikan pembaharuan antaranya melibatkan pentadbiran termasuklah dari segi saiz kabinet kita dan juga isu-isu yang melibatkan penyampaian kepada rakyat.

“…Dan juga bagaimana kita mahu membawa Malaysia ke hadapan. Kita akan bagi solusi, itu adalah sebahagian daripada penyelesaian masalah yang kita hadapi dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera PRU15 Amanah Negeri Sembilan, malam tadi.

Menurut Adly lagi, tawaran itu bukan sahaja meliputi apa yang mahu diberikan dan dilakukan tetapi sebenarnya banyak memberi fokus terhadap aspek pelaksanaan selepas diberi mandat oleh rakyat.

“InsyaAllah, Datuk Seri Anwar akan perjelaskan lagi tentang manifesto itu malah memang kita ambil maklum daripada semua pandangan, masalah-masalah dalam negara dan seumpamanya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Baca Juga: Kanak-kanak 12 tahun meraung minta tolong, orang ramai hanya rakam tapi tak bantu langsung

Baca Juga: PRU-15: AMANAH umum calon Ahad ini