Kemaraan pasukan bola sepak Kuala Lumpur City FC (KL City) melangkah ke perlawanan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak (AFC) 2022, semakin menjadi bualan hangat.
Kini, sudah tentu mata peminat bola sepak tertumpu kepada skuad warga kota kendalian jurulatih Bojan Hodak itu.
Bagi menyuntik motivasi dalam kalangan pemain The City Boys menjelang perlawanan akhir Piala AFC menentang kelab Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, ada sesuatu yang menanti mereka.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad berkata, insentif wang tunai lumayan menanti para pemain.
Katanya, hadiah wang tunai itu diberikan jika skuad warga kota itu berjaya memastikan kejuaraan Piala AFC berada dalam kabinet kelab Liga Super tersebut musim ini.
“Kita faham gaji para pemain KL City bukan yang tertinggi, tapi kita tetap menyediakan insentif buat pemain berdasarkan pencapaian dan prestasi serta setiap kemenangan diraih.
“Kita faham dan akan imbangi bonus kemenangan pada setiap perlawanan. Sebelum ini para pemain KL City mendapat bonus ketika menjuarai Piala Malaysia, begitu juga sekiranya mereka berjaya memenangi Piala AFC.
“Jumlah itu kita akan umumkan kemudian, namun paling penting para pemain perlu mempamerkan aksi yang terbaik di padang pada perlawanan akhir itu nanti,” katanya.
Khalid mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar di pejabat KLFA, Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
Untuk rekod, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, dipilih sebagai Presiden KLFA pada November 2019 dan akan memimpin persatuan itu sehingga tahun depan.
The City Boys mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke pentas final Piala AFC buat pertama kali,sekali gus berpeluang mengulangi pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT) pada edisi 2015 sebelum ini.
Baca Juga: Gara-gara berebut tempat duduk, nyawa adik melayang dibaling pisau
Baca Juga: Ini komen netizen selepas nampak Intan bertudung…