Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak berharap anak buahnya dapat mengecapi pengakhiran menggembirakan pada perlawanan akhir Piala AFC esok.
Meskipun mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, Hodak tetap selesa merendah diri dan tetap menganggap pasukannya sebagai ‘underdog’.
Pengendali dari Croatia itu berkata, kejayaan skuadnya melangkah ke final Piala AFC juga umpama mimpi menjadi kenyataan kerana tidak meletakkan sasaran tinggi di awal kejohanan.
“Kami tidak jangka boleh mara hingga ke final kerana pada awalnya kami hanya menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan.
“Kemenangan ketika berdepan kelab Vietnam, Viettel (di separuh akhir Zon ASEAN) membuka peluang kepada kami dan saya harap kami dapat melakar penamat yang gembira.
“Oman mempunyai bola sepak yang bagus, ranking mereka lebih baik dari Malaysia.
“Mungkin ada kelebihan kami bermain di tempat sendiri, tapi saya masih anggap kami pasukan underdog dan ini bola sepak, aksi 90 minit yang akan jadi penentu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Skuad City Boys akan berdepan kelab Oman, Al Seeb pada perlawanan akhir Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Sebelum ini, media melaporkan habuan wang tunai lumayan menanti para pemain KL City sekiranya skuad warga kota itu berjaya memastikan Piala AFC 2022 berada dalam kabinet kelab Liga Super tersebut musim ini.
Itu jaminan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad bagi menyuntik motivasi dalam kalangan pemain The City Boys menjelang perlawanan akhir, esok.
Baca Juga: Tak sah cuti kalau tak hadap jem, 1.9 juta kenderaan guna lebuh raya Deepavali ini
Baca Juga: ‘Sikap’ dimiliki Fazura buat netizen rasa tersentuh hati