Piala Dunia 2022 bakal jadi kejohanan terakhir Messi

  • Post author:

Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi telah mengesahkan Piala Dunia di Qatar nanti, bakal menjadi kejohanan terakhir disertai beliau sebelum bersara.

“Ia adalah Piala Dunia terakhir saya, pasti. Saya rasa baik daripada segi fizikal, mengharungi pra-musim yang bagus tahun ini, sesuatu yang tidak dapat saya lakukan tahun lalu.

“Ia penting untuk sampai ke tahap ini, dengan minda yang betul dan harapan yang tinggi,” kata pemain berusia 35 tahun itu.

Messi, yang akan tampil di Piala Dunia kelimanya, membuat penampilan sulung pada 2005 dan sejak itu mengumpul 164 kap untuk Argentina serta menjadi penjaring terbanyak negaranya dengan 90 gol.

Dalam satu wawancara di Paris di mana dia beraksi untuk kelab Perancis, Paris Saint-Germain, Messi mengakui dia tidak sabar untuk mengharungi kejohanan di Qatar itu.

“Ada rasa gemuruh, berdebar-debar tentang Piala Dunia. Kami tidak sabar menanti ia bermula,” katanya.

Kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA akan berlangsung bermula 21 November 2022 hingga 18 Disember 2022.

Qatar menjadi negara tuan rumah bagi Kejohanan bola sepak FIFA World Cup edisi ke-21 dengan melibatkan lapan venue perlawanan di lima buah bandar iaitu Lusail, Al Khor, Doha, Al Rayyan dan Al Wakrah.

Piala Dunia FIFA telah memasuki edisi ke-21 bagi tahun 2022 membabitkan penyertaan 32 pasukan dari negara yang layak bertanding.

Baca Juga: JKM mohon bantuan kesan ibu bapa Ayyash

Baca Juga: 5,262 pesawah Pulau Pinang bakal terima RM500 bulan ini