Orang ramai atau saksi kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 17.1 Lebuhraya Persekutuan, diminta tampil membantu polis.
Kemalangan itu berlaku pagi semalam di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian pada 4.52 pagi itu melibatkan lima lelaki berusia lingkungan 20-an yang mana salah seorang daripadanya parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika sebuah Toyota Vios dipercayai dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang yang dipandu di lorong tengah dilanggar di sebelah tepi oleh sebuah Range Rover yang datang dari arah belakang.
“Ia menyebabkan Toyota Vios itu terbabas ke lorong kanan lalu melanggar pembahagi jalan, manakala Range Rover terbabas ke sebelah kiri lebuh raya.
“Sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Bezza yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang Toyota Vios,” maklum beliau menerusi satu kenyataan.
Menurut Mohd Iqbal, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu kereta Toyota Vios parah, manakala dua penumpang kereta itu mengalami cedera ringan.
Katanya, pemandu Range Rover serta Perodua Bezza juga mengalami cedera ringan.
Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Setakat ini katanya, laporan diterima oleh pemandu Toyota Vios, manakala pemandu kedua-dua kenderaan lain yang terbabit masih belum membuat laporan polis.
“Kesemua individu yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut
“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” katanya.
Baca Juga: Tinggal dengan pesakit mental, pasangan ini cipta keunikan
Baca Juga: 3 individu pengsan akibat terhidu gas bocor