PRU-15: Apa itu Pelan Alor Gajah Berwibawa?

  • Post author:

Pelancaran Pelan Alor Gajah Berwibawa, semalam menggambarkan tanggungjawab yang sedia digalas calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di situ.

Apa itu Pelan Alor Gajah Berwibawa?

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook Adly Zahari, pelan berkenaan berkonsepkan Pintar, Hijau dan Bersih.

Pelan itu meliputi tiga komponen utama iaitu Perindustrian, Perumahan dan juga Pendidikan.

Selain itu, pelan tersebut turut memberi tumpuan kepada masalah rakyat di Alor Gajah seperti mengatasi masalah banjir, kesesakan lalu lintas di lebuh AMJ, mencipta peluang pekerjaan baharu, isu sekuriti makanan, kesihatan rakyat dan juga kelestarian alam sekitar.

Menurut laporan media, Adly yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan, pelan tersebut mampu direalisasikan kerana manifesto itu dirangka berdasarkan realiti semasa.

Tambah Adly lagi, manifesto adalah satu perkara biasa ketika pilihan raya dan pelaksanaannya mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

Namun katanya, beliau akan memberi keutamaan kepada perkara-perkara asas dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberi mandat selepas 19 November ini.

Untuk rekod, sebelum ini Adly pernah memegang jawatan Ketua Menteri Melaka pada Mei 2018 sehingga Mac 2020.

Kini beliau juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka.

Kredit Gambar: FB Adly Zahari

Baca Juga: PRU-15: Adly optimis Pelan Alor Gajah Berwibawa mampu dilaksanakan

Baca Juga: Hujan di hari mengundi, rakyat disaran keluar awal