Calon-calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan dimuktamadkan sebelum mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 20 Oktober ini.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberitahu, parti itu kini sedang menapis dan memberi pemarkahan awal supaya semua calon-calon berpotensi dapat dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Calon pada Rabu ini.
“Mengambil kira sentimen pengundi yang menuntut mutu calon yang lebih baik dari parti-parti yang bertanding, PKR memperkenalkan proses saringan dan penilaian calon yang lebih telus, seragam, objektif dan demokratik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Rafizi lagi, penapisan dan pemarkahan calon-calon parti tersebut mengambil kira 30 peratus kekuatan jentera pilihan raya yang telah dibina dan prestasi kempen lapangan untuk memenangi pengundi.
“Manakala 20 peratus pula melibatkan keterampilan dan kesesuaian menjadi wakil rakyat dengan mengambil kira latar pendidikan, kelayakan dan pengalaman profesional, kepakaran yang boleh menyumbang nilai tambah kepada keberkesanan sebagai wakil rakyat dan kewibawaan peribadi.
“20 peratus lagi adalah sumbangan kepada masyarakat di luar politik dalam pelbagai bentuk termasuk kerja-kerja sukarelawan, pakar dalam industri dan bidang tertentu, kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamanya,” katanya lagi.
Rafizi berkata, pemarkahan selebihnya adalah melibatkan tahap capaian calon tersebut di media sosial dalam berkomunikasi dan menyebarkan maklumat kepada orang ramai.
“Ini menjadi salah satu ‘niche’ yang akan diberi tumpuan oleh PKR untuk membezakan kami dari parti komponen BN dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya berpendapat tumpuan rakyat untuk membezakan parti-parti yang bertanding dalam PRU15 adalah kepada kewibawaan, kepelbagaian, kemahiran profesional dan kesesuaian calon-calon yang diketengahkan,” ujarnya lagi.
Baca Juga: Didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki, PU Azman hadapi lima pertuduhan
Baca Juga: Wah! Senaman ‘buaya merangkak’ jadi trend di China