Penyandang Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sedia mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Dr Dzulkefly berkata, beliau terpanggil untuk memenuhi permintaan sebahagian pengundi di Kuala Selangor.
“Saya terpanggil memenuhi permintaan sebahagian pengundi Kuala Selangor dan mentaati arahan pimpinan tertinggi parti PH untuk pertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Menurut Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi AMANAH, beliau berikrar untuk meneruskan tradisi ‘mengabdikan’ diri, menyantuni dan membela rakyat tanpa prejudis atau diskriminasi kepada warga Kuala Selangor serta memastikan pembangunan Parlimen itu dapat dijayakan.
“Nantikan laporan kerja saya yang akan diterbitkan semasa kempen (sepanjang menjadi ahli Parlimen di kawasan ini),” kata beliau.
Sebelum ini Dr Dzulkefly menyatakan hasratnya untuk tidak dicalonkan pada PRU15.
Ia bagi memberi laluan kepada calon-calon muda, namun pucuk pimpinan AMANAH meminta beliau mempertahankan kerusi Kuala Selangor selepas Umno mempertaruhkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Baca Juga: Ambil ‘order’ macam orang dewasa, ini komen netizen terhadap adik comel ini…
Baca Juga: ‘Kembar’ Mira Filzah ditemui di TikTok, netizen doakan wanita ini dapat peluang berlakon