PRU-15: Jangan percaya dakwaan pakai seluar pendek, selipar tidak boleh mengundi – SPR

  • Post author:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak percaya dengan hebahan maklumat mengenai etika pakaian yang menyatakan memakai seluar pendek dan selipar tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, pengundi tidak perlu risau kerana isu pakaian yang tular itu adalah berita palsu.

“SPR hanya ada satu peraturan iaitu tidak boleh pakai baju atau topi yang ada simbol parti politik. Itu sahaja peraturan SPR.

“Semua berita lain yang menyatakan seluar pendek tidak boleh pakai, selipar tidak boleh pakai, itu semua palsu. Kalau was-was, dapatkan penerangan di laman sesawang SPR,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Azmi ditemui selepas mengundi dan melakukan tinjauan perjalanan proses pengundian di Sekolah Kebangsaan 2 Sultan Alam Shah, Seksyen 11 hari ini.

Azmi berkata, rakyat Malaysia yang layak mengundi harus datang mengundi mengikut masa yang digalakkan atau datang pada bila-bila masa sebelum 6 petang jika ada urusan lain yang tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata, setakat tengah hari tadi SPR tidak menerima sebarang aduan atau laporan serius mengenai perjalanan PRU-15 dan berharap proses pengundian berjalan lancar sehingga pusat mengundi ditutup pada 6 petang ini.

Baca Juga: Dua petugas kesihatan di setiap tempat mengundi, khas buat pengundi yang positif Covid-19

Baca Juga: Pengundi muda ikut pilihan ibu bapa, tak tahu mana yang perlu diundi