PRU-15: Kematian calon Padang Serai, SPR adakan mesyuarat khas Jumaat ini

  • Post author:

Susulan calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya yang meninggal dunia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting urusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.

“SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon yang dinyatakan di atas.

“SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 18 November 2022 (Jumaat) bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan PRU15 Bahagian “Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai. Satu Kenyataan Media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap keluarganya tabah menghadapi kehilangan orang tersayang.

Karupaiya yang juga penyandang kerusi berkenaan meninggal dunia di Hospital Kulim, pukul 2.27 petang tadi akibat serangan jantung.

Terdahulu, penganalisis pilihan raya, G Manimaran dilapor berkata, proses pengundian bagi Kerusi Parlimen Padang Serai untuk PRU-15 berkemungkinan akan ditangguhkan ke tarikh yang lain.

Katanya, SPR akan membuat keputusan berhubung tarikh baharu bagi melaksanakan proses pengundian.

Beliau berkata, calon-calon yang sedia akan kekal dan layak untuk bertanding pada kerusi tersebut.

Baca Juga: PRU-15: Fahmi Fadzil tekad tidak ambil gaji jika dilantik dalam Kabinet

Baca Juga: Ala-ala tengah ‘fashion show’, lelaki ini peraga kain bendera parti politik buat netizen geli hati