PRU-15: KKM kemuka dua syor bolehkan pesakit Covid-19 mengundi

  • Post author:

Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengemukakan dua cadangan untuk pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi membolehkan individu positif Covid-19 mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, keputusan SOP (prosedur operasi standard) bagi individu positif Covid-19 mengundi, diketahui Isnin nanti.

“Syor pertama adalah menyediakan satu laluan dan bilik mengundi khas untuk individu positif Covid-19.

“Satu lagi opsyen adalah pesakit Covid-19 datang ke khemah KKM, kita pastikan mereka ada pelindung dan sebagainya, barulah kita bawa pesakit tersebut ke tempat mengundi. Tak perlu beratur dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas acara Putrajaya Pink October Fun Walk 2022, hari ini.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, individu positif Covid-19 namun tidak kritikal, akan dibenarkan mengundi pada PRU-15, dengan mematuhi SOP ketat yang akan diumumkan SPR kelak.

SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU-15, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November depan.

Baca Juga: PRU-15: AMANAH Johor sah bertanding enam kerusi Parlimen

Baca Juga: Nak jual banglo harga RM7 juta, Sajat siap tawar khidmat peguam secara percuma