PRU-15: “Saya akan buat ucapan penutup bagi seluruh negara di Tambun” – Anwar

  • Post author:

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadikan Tambun sebagai lokasi menyampaikan amanat terakhir kempen PH pada 18 November ini, iaitu sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Anwar berkata, Tambun dipilih sebagai tempat menyampaikan amanat terakhir PH berbanding Putrajaya kerana Tambun bakal dijadikan markas dan pusat gerakan baharu Malaysia. 

“Saya diminta untuk berada di Putrajaya pada malam 18 November akan datang untuk membuat ucapan penutup, tetapi saya kata tak boleh.

“Saya akan buat ucapan penutup bagi seluruh negara di Tambun,” katanya dalam satu ceramah di Ipoh semalam.

Presiden PKR itu berkata, pada malam itu ramai kenalannya yang terdiri daripada pelabur-pelabur asing dari luar negara akan datang ke Tambun untuk menyaksikan Amanah Terakhir kempen PH PRU15.

“Oleh itu, Tambun boleh dikenali di mata dunia sekali gus masuk peta dunia. Dalam Amanat itu, saya akan menyebut soal tadbir urus negara yang baik. Itu yang penting.

“Jadi ahli parlimen sahaja tak cukup, jadi Perdana Menteri pun tak cukup. Kena ubah,” katanya. 

Menurut Anwar lagi, sebelum bertanding beliau berbincang dengan Presiden Turki untuk bekerjasama mengangkat ekonomi Malaysia.

“Ini berfokus kepada Teknologi Digital dan Artificial Intelligence khususnya untuk anak-anak muda yang berminat,” katanya lagi.

Baca Juga: PRU-15: Adly optimis Pelan Alor Gajah Berwibawa mampu dilaksanakan

Baca Juga: PRU-15: Apa itu Pelan Alor Gajah Berwibawa?