Seorang rakyat Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi pemenang dalam siri rancangan televisyen terkenal United Kingdom (UK) iaitu The Great British Bake Off bagi musim ke-13.
Syabira Yusoff, 32, merupakan penyelidik kardiovaskular di London, menyingkirkan dua peserta akhir dalam siri rancangan tersebut untuk muncul sebagai juara.
Menerusi episod final yang disiarkan semalam, ketiga-tiga peserta akhir itu ditugaskan menghasilkan makanan berkelah pada musim panas menggunakan bahan bermusim dari seluruh UK.
Mereka perlu membakar kek mini, pai sayuran dan sandwic menggunakan roti putih yang mereka hasilkan sendiri.
Bagi memenuhi kriteria tema itu, Syabira menghasilkan pai tanpa daging babi menggunakan cendawan.
Syabira menyatakan kemenangan tersebut merupakan pencapaian terbesar dalam hidupnya.
“Semua kerja keras, percubaan dan kesalahan yang dilakukan adalah berbaloi. Saya amat berbangga dengan pencapaian ini,” katanya seperti dilapor Utusan.
The Great British Bake Off merupakan siri realiti televisyen popular yang menyaksikan para peserta bersaing untuk menjadi pembuat roti amatur terbaik di negara ini.
Baca Juga: [VIDEO] Wartawan ni kena kacau gajah masa buat liputan, apa kesudahannya?