Remaja autisme terjun tingkat 1, ibu sibuk bawa adik pergi mandi kolam dan bermalam di hotel

  • Post author:

Seorang wanita tergamak meninggalkan remaja yang juga orang kelainan upaya (OKU) berseorang sehingga anaknya itu terjun dari tingkat satu sebuah apartmen di Taman Melawati pagi Sabtu lalu.

Remaja lelaki berusia 13 tahun itu difahamkan ditinggal seorang diri di rumah pada Jumaat lalu apabila wanita tersebut buat keputusan untuk bawa anak perempuan berusia lima tahun ke latihan renang dan bermalam di hotel sekitar Damansara.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa adalah golongan OKU dan autisme itu telah terjun dari rumah yang terletak di tingkat satu pada pukul 8.32 pagi semalam.

“Remaja itu kemudian terjatuh di atas sebuah kereta dan mengalami kecederaan sehingga menerima lima jahitan di bahagian kepala, tangan kanan serta kesan retak di tangan dan muka.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan.

Pihak polis telah menahan seorang wanita berusia 43 tahun yang juga adalah ibu mangsa pada pukul 2 petang semalam.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang esok bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” ujarnya.

Baca Juga: Janganlah sibuk tanya ‘stage’ berapa, bekas pesakit kanser ini kongsi 6 tips ziarah

Baca Juga: Ustaz saran hati-hati beli al Quran ini kerana tidak disemak dan tidak diketahui jika ada huruf tertinggal