Seorang remaja di Brazil membuat sejarah baru apabila melahirkan sepasang bayi kembar yang masing-masing mempunyai bapa yang berbeza. Hal ini dikatakan berlaku apabila dia melakukan hubungan intim bersama dua lelaki berbeza pada hari yang sama.
Remaja berusia 19 tahun yang identitinya tidak didedahkan itu menjelaskan bahawa dia melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada lelaki yang disangka merupakan bapa kepada pasangan kembar tersebut lapor MailOnline semalam.
Bagaimanapun, hasil ujian mendapati ia positif hanya untuk salah seorang bayinya. Remaja itu kemudian memaklumkan dia juga melakukan hubungan seks dengan lelaki lain pada hari sama dan disahkan lelaki tersebut adalah bapa kepada bayi kedua.
Keadaan itu dikenali sebagai heteroparental superfecundation.
Menurut doktor yang merawat remaja berkenaan, Tulio Jorge Franco, kejadian seumpama itu sememangnya boleh terjadi, di mana dua telur daripada seorang ibu disenyawakan oleh dua lelaki berbeza.
“Kedua-dua bayi berkongsi bahan genetik ibu, namun membesar dalam plasenta berbeza,” jelasnya.
Jelas Franco, kes tersebut amat jarang berlaku manakala kebarangkaliannya adalah satu dalam sejuta.Hanya 20 kes seumpama itu didakwa berlaku di seluruh dunia.
Dalam pada itu, pasangan bayi kembar tersebut dilaporkan kini berusia 16 bulan serta kedua-dua lelaki berkenaan turut membantu remaja tersebut menjaga anak-anak mereka. – Agensi
Baca Juga: Cuba hidupkan anak dengan lumurkan garam, percaya sangat dengan mesej dalam media sosial