Remaja perempuan ditemui maut tersangkut di celah batu

  • Post author:

Niat mahu beriadah bersama rakan akhirnya bertukar mimpi buruk apabila salah seorang daripada mereka lemas dan maut selepas tersangkut di celah batu

Kejadian melibatkan enam rakan itu dikatakan berlaku di Pantai Tanjung Balau, Johor. Mangsa Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi dipercayai hilang dalam keadaan tersangkut di celah batu pukul 2.37 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian lemas itu pada pukul 9 pagi melibatkan seorang remaja perempuan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh polis dan dibantu anggota bomba telah melakukan pencarian di permukaan dan dasar air sebelum berjaya menjumpai mangsa pada jarak 50 meter dari kawasan mangsa hilang.

“Mangsa yang ditemukan telah meninggal dunia dipercayai akibat lemas. Mangsa dijumpai dalam keadaan tersangkut pada celah batuan di kawasan pencarian.

“Makluman awal diterima mangsa bersama mereka yang lain sedang riadah dengan ketika kejadian mereka datang ke pantai ini untuk mandi-mandi dan difahamkan telah mendapat izin ahli keluarga untuk ke sini,” katanya kepada media di Pantai Tanjung Balau hari ini.

Pihak keluarga juga telah melakukan pengecaman dan mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Dua lagi mangsa yang tidak sedarkan diri dalam kejadian itu kini sedang dalam pemantauan rapi hospital, manakala tiga lagi mangsa yang selamat dalam keadaan stabil.

Baca Juga: Perkenal watak lesbian dalam Peppa Pig, ibu bapa berang cerita kanak-kanak mahu di-LGBT

Baca Juga: Pemandu buat ‘keras’ tak mahu berganjak walau kena hon dengan bas Rapid KL