RM291.4 juta peruntukan untuk bomba naik taraf fasiliti, tambah aset

  • Post author:

Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM291.4 juta pada tahun ini bagi menaik taraf fasiliti serta menambah aset milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Peruntukan ini diluluskan Kementerian Kewangan khusus untuk memastikan khidmat kebombaan dan penyelamatan JBPM setanding dengan negara-negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2021) di Putrajaya, hari ini.

Menerusi peruntukan itu, JBPM akan menerima enam buah Fire and Rescue Boat (FRB) bernilai RM15.5 juta, lima jentera Urban Search and Rescue (RM7.5 juta) dan 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT) (RM145.8 juta) secara berperingkat.

Sebanyak RM49 juta diperuntukkan untuk pembangunan projek Command, Control, Communications, Computers and Intelligent (C4iFRDM) bagi mempertingkatkan sistem komunikasi kecemasan JBPM, manakala RM33.6 juta bagi menaik taraf Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Bomba di Subang, Selangor, katanya.

Hampir RM40 juta disalurkan untuk pembangunan Fasa 3 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu yang meliputi pembangunan fasiliti latihan seperti Simulator Latihan Air Pantas, Kompleks Latihan Menyelamat Air, Kecemasan Lebuhraya dan Penyelamat Kemalangan Trafik serta Simulator Memadam.

Dalam sidang media selepas itu, Reezal Merican memaklumkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengemukakan senarai keperluan untuk Belanjawan 2023 dan berharap kerajaan akan memberikan peruntukan lebih tinggi untuk JBPM.

Baca Juga: Gempa bumi landa tenggara Taiwan 

Baca Juga: Pendaki ditemukan selamat, keluar sendiri daripada hutan