Robot berjaya buang tumor pesakit

  • Post author:

Dalam hidup ini, sebenarnya macam-macam perkara menarik ada di sekeliling manusia, sehingga sampai satu tahap kita boleh menganggap ia juga sesuatu yang unik.

Sebuah robot berjaya ‘menyelamatkan’ nyawa seorang lelaki berusia 61 tahun selepas membuang tumor dari bahagian kerongkongnya.

Ia sekali gus menjadi pembedahan pertama seumpamanya dilakukan di Britain.

Portal berita MailOnline melaporkan, pakar-pakar bedah di Hospital Diraja Gloucestershire (GRH) menggunakan robot digelar Versius ketika melakukan esofagiktomi (pembedahan kerongkong) untuk membuang tumor bersaiz 5.8 sentimeter daripada pesakit bernama Martin Nugent.

Prosedur yang dilakukan robot tersebut adalah satu bentuk pembedahan akses minimum kerana telah melakukan hirisan yang lebih kecil, selain mengurangkan perubahan komplikasi, parut dan sakit selepas pembedahan.

“Pada tahun lalu, saya mengalami kesakitan sehingga tidak dapat makan malam semasa Hari Krismas. Berat badan saya turun 20 kilogram (kg) dengan pantas. 

“Kini, saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menikmati Hari Krismas yang lain,” kata Nugent.

Robot itu dibina oleh syarikat pengeluar alatan perubatan Britain, CMR Surgical.

“Gabungan alatan dan tangan pakar, serta kombinasi penglihatan HD 3D yang dipertingkatkan, memberi pakar bedah tahap ketepatan tinggi ketika melakukan prosedur rumit.

“Dengan tahap ketepatan dan kawalan yang tinggi, pakar bedah dapat melakukan lebih banyak prosedur kompleks secara laparoskopi,” kata CMR Surgical menerusi laman webnya.

Mesin itu mempunyai reka bentuk ringan dan modular yang membolehkan ia mudah dipindahkan antara jabatan. Ia juga menggunakan ‘teknologi v-wrist’ iaitu boleh digunakan secara maya di mana-mana bilik pembedahan.

Robot itu dipasang tahun lepas dan GRH menjadi hospital Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) pertama di Britain yang memulakan program Pembedahan Gastro Usus (GI) menggunakan robot berkenaan.

Baca Juga: Video budak berpaut belakang lori kini tular di Indonesia

Baca Juga: Harga barang naik tapi gaji tak naik-naik, rakyat harap ada perubahan daripada kerajaan baru