Rod besi tertusuk rahang, doktor berjaya keluarkan menerusi pembedahan

  • Post author:

Malang tidak berbau, ungkapan nasihat itu sering diungkap bertujuan mengingatkan kita musibah hadir tanpa sebarang tanda atau isyarat.

Itu yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di negeri Uttar Pradesh, India apabila sebatang palang besi menembusi mulut dan rahangnya.

Dia disifatkan amat bernasib baik kerana tidak mengalami kecacatan kekal selepas jatuh di atas palang besi itu.

Portal berita MailOnline melaporkan, mangsa, dikenali sebagai Taliba tinggal di kampung Bhulanpur sedang bermain di luar rumah sebelum terlibat dalam insiden itu.

Dalam kejadian mengerikan itu, ia tercucuk di bahagian bawah rahangnya dan menembus keluar pada mulutnya ketika kanak-kanak lain bergegas mendapatkan keluarga Taliba.

Mereka memotong sebahagian batang besi itu dan membawa Taliba ke hospital daerah terdekat yang terletak sejauh 15 kilometer (km) di Motipur pada 4 Oktober lalu.

Menurut pakar Dr Rajkumar Koli, yang mengetuai pembedahan mengeluarkan batang besi itu, pada mulanya dia meminta agar mangsa dibawa ke Kolej Perubatan Lucknow yang memiliki kemudahan lebih canggih.

“Ibu bapa Taliba tidak mampu untuk melalui perjalanan sejauh 140 km dan merayu agar anak mereka segera diselamatkan.

“Ini adalah kes paling menakutkan pernah saya lihat sepanjang bergelar petugas perubatan,” kata Rajkumar.

Menurut Rajkumar lagi, pembedahan mengeluarkan besi itu sangat berisiko tinggi kerana perkhidmatan imbasan X-ray di hospital daerah tidak tersedia selepas pukul 5 petang.

“Saya kemudian segera memaklumkan pakar bius untuk menggunakan bius yang tersedia dan memulakan pembedahan untuk menyelamatkan saluran darah utama di sekitar kawasan yang dicucuk.

“Rod itu tersangkut dengan ketat dalam rahang dan untuk melonggarkannya, saya terpaksa membuat potongan 1 sentimeter (sm) dan menarik rod keluar perlahan-lahan. Prosedur itu hanya mengambil masa kira-kira 35 minit,” jelas Rajkumar.

Tambah doktor, Taliba bernasib baik kerana batang besi itu tidak terkena sebarang saluran darah ke otak.

Taliba telah dibenarkan keluar daripada hospital selepas tiga hari menerima rawatan dan mula bercakap kira-kira lapan jam selepas rod besi berjaya dikeluarkan.

Baca Juga: Tak tetap pendirian, Pas dan PN tiada kesepakatan – Mahfuz

Baca Juga: DAP bertanding empat kerusi Parlimen di Pahang