Ronaldo sertai Al-Nassr, peroleh bayaran tertinggi

  • Post author:

Bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo kini mencapai persetujuan muktamad untuk menyertai Al-Nassr Januari depan.

Al-Nassr adalah salah sebuah pasukan paling berjaya di Arab Saudi setelah memenangi kejuaraan liga sebanyak sembilan kali.

Media Sepanyol melaporkan, kapten skuad Portugal itu sedang mencari kelab baharu selepas kontraknya bersama Manchester United ditamatkan bulan lalu.

Skuad Red Devils bertindak pantas menamatkan perjanjian bersama Ronaldo yang bernilai lebih £500,000 (RM2.67 juta) seminggu dan masih berbaki tujuh bulan sebagai tindak balas komennya ketika ditemu bual Piers Morgan kerana mengkritik Erik ten Hag dan pemilik kelab.

Marca minggu lalu melaporkan bahawa Ronaldo sudah menerima tawaran kontrak bernilai £432 juta (RM2.3 bilion) dari Al-Nassr

Akhbar Sepanyol itu mendakwa, Ronaldo sudah mencapai persetujuan muktamad dengan kelab Arab Saudi dan akan menyertai kelab itu pada 1 Januari ini.

Pemenang Ballon d’Or lima kali berusia 37 tahun itu akan menandatangani kontrak selama dua setengah tahun bernilai £173 juta (RM924.6 juta) setiap musim.

Menurut senarai Forbes 2022, perpindahan itu akan menjadikan Ronaldo sebagai pemain yang menerima bayaran tertinggi di dunia.

Ia mendahului Lionel Messi, £105m (RM561.2 juta) di Paris Saint-Germain (PSG) tahun ini dan pemain Los Angeles Lakers, LeBron James, yang menerima £98 juta (RM523.8 juta)

Ronaldo mendesak untuk meninggalkan United sejak musim panas, tetapi ejennya gagal menemui kelab baharu walaupun berbincang dengan beberapa pasukan terkemuka Eropah termasuk Chelsea, Bayern Munich dan PSG.

Baca Juga: [VIDEO] Semangat membantu rakan tu dah ada, tapi ada sesuatu yang buat netizen geli hati…

Baca Juga: 2,500 bangkai anjing laut ditemui terdampar, cetus tanda tanya