Siapa sangka niat ke hospital untuk rawatan sakit perut akhirnya bongkar rahsia buah pinggang wanita dari Malkangiri, India sudah dijual suaminya, empat tahun lalu.
Ranjita Kundu, 31,membuat laporan polis terhadap suaminya Prasant Kundu pada Rabu, lapor Times of India. Dia hanya mengetahui mengenai hal itu selepas doktor menjalankan pemeriksaan ke atasnya.
Mengingati kembali kejadian, Ranjita memaklumkan dia dimasukkan ke sebuah hospital swasta kerana dikatakan ada ketulan batu dan ketika itulah pembedahan buah pinggang berjalan.
“Ketika mendapatkan rawatan, suami menjual satu buah pinggang tanpa pengetahuan saya kerana dalam keadaan tidak sedar akibat dibius,” katanya.
Ranjita memaklumkan suaminya seorang warga Bangladesh dan mereka sudah berkahwin selama 12 tahun dengan memiliki dua anak namun telah mempunyai isteri baru di tempat dia bekerja.
“Lapan bulan lalu, suami pergi ke Andhra Pradesh untuk bekerja dan bernikah dengan wanita lain di sana.
“Kakak ipar pula kerap menyeksa saya dan sentiasa menyokong segala keputusan suami,” katanya.
Dia berkata, suaminya kini tidak lagi menjenguk dia dan dua anak mereka.
“Sekarang, saya tinggal di rumah ibu bapa dan kini tampil untuk mendapat keadilan,” katanya.
Polis Malkangiri mengesahkan laporan yang dibuat wanita terbabit dan siasatan lanjut sudah dijalankan.
Baca Juga: Rompak kedai emas, kerugian dianggarkan RM660,000
Baca Juga: Azeez Rahim sanggah kenyataan sendiri dalam kes OPV