Sasar rumah tiada penghuni dan buka pintu guna pemutar skru, Geng Alif Buntal tumpas

Kegiatan pecah rumah dan mencuri motorsikal di daerah Besut berjaya dihentikan selepas dalangnya, Geng Alif Buntal ditumpaskan polis kelmarin. Kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan.

Lelaki tersebut dipercayai ahli geng itu ditahan di sebuah pasar borong di Besut pada pukul 2 pagi. Dia juga memiliki 11 rekod jenayah dan berada di pengawasan parol namun berjaya melarikan diri lapor Kosmo.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati Geng Alif Buntal terlibat sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah dan enam kes curi motosikal di sekitar daerah ini.

“Lelaki itu memiliki 11 rekod jenayah dan sedang menjalani proses pengawasan parol di Damansara, Selangor, tetapi melarikan diri.

“Sepanjang tempoh melarikan diri itu, suspek yang sepatutnya tamat parol bulan depan membentuk kumpulan jenayah terbabit bersama dua lelaki lain yang masih bebas,” katanya.

Sasar rumah tiada penghuni, buka pintu guna pemutar skru

Siasatan mendapati modus operandi Geng Alif Buntal adalah menyasarkan rumah tidak penghuni. Mereka membuka pintu rumah menggunakan pemutar skru.

“Setakat ini, polis menjumpai semula sebahagian barangan dicuri iaitu enam motosikal, komputer riba dan telefon bimbit bernilai RM25,000.

“Dua lagi lelaki dikenali sebagai Mat Chah dan Mat Daha sedang dicari bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Baca Juga: 250,000 hadir beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth

Baca Juga: Tidak dijemput ke pengebumian Ratu Elizabeth II, adakah Britain bakal berperang dengan Russia? Ini penjelasannya