Setiap undian adalah penting untuk menentukan masa depan negara dalam tempoh lima tahun akan datang. Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini menyebabkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertimbang menyediakan kemudahan pengangkutan para pelajarnya untuk pulang mengundi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof.Dr. Mohd.Sazili Shahibi berkata, pengurusan universiti itu mengadakan perbincangan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berhubung isu pengangkutan pelajar pulang ke kampung untuk mengundi lapor Utusan.
“Pada saat ini kita sedang mengadakan tinjauan melalui Google Form berhubung isu kemudahan pengangkutan untuk para pelajar pulang ke kampung masing-masing.
“Setakat ini belum ada ketetapan lagi (berhubung isu pengangkutan pelajar), baru cadangan sahaja.
Hasil perbincangan awal dengan MPP UiTM, kita setuju untuk hantar pelajar ke terminal bas dan lapangan terbang sahaja.
“Kami sentiasa prihatin dengan hasrat pelajar-pelajar di kesemua cawangan untuk melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pengundi berdaftar pada PRU-15,” katanya.
Masalah untuk pulang ini lebih dirasai pelajar yang berada jauh dari kampung terutama berasal dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung atau sebaliknya, serta mereka yang mengundi di Johor tetapi belajar di Pantai Timur atau utara tanah air.
Bukan itu sahaja, UiTM juga mewakili 15.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi muda 1.2 juta orang di seluruh negara iaitu dengan bilangan pengundi muda 18 dan 20 tahun paling ramai iaitu 185, 400 orang.
Mohd.Sazili berkata, pihaknya memahami masalah kos yang dihadapi pelajar untuk pulang ke kampung namun semuanya bergantung kepada perbincangan dan keputusan pengurusan peringkat tertinggi UiTM.
“Sebelum segala keputusan (berhubung pengangkutan pelajar pulang ke kampung) dimuktamadkan, saya kena bawa hasil perbincangan dengan MPP sebelum ini dan hasil tinjauan secara maya kepada majlis eksekutif universiti dahulu untuk tetapkan keputusan.”
Baca Juga: PGA patahkan penyeludupan 1,608 vape ke negara jiran
Baca Juga: Kekal 11 kerusi, tawan lagi 2 kerusi Parlimen-Kemenangan PH Pulau Pinang perlu dipertahankan