Selepas dua bulan rusuhan besar di Iran, kematian Mahsa ‘dibayar’ dengan pemansuhan polis moral

  • Post author:

Selepas dua bulan rusuhan di Iran, kematian Mahsa Amini pada 16 September lalu nampaknya ‘dibayar’ dengan pemansuhan pasukan polis moral.

Menurut Peguam Negara, Mohammad Jafar Montazeri, polis moral tiada kaitan dengan badan kehakiman dan sudah dimansuhkan.

Beliau dilaporkan agensi berita ISNA, berkata demikian pada satu persidangan agama, ketika menjawab soalan seorang peserta mengenai sebab polis moral dimansuhkan.

Pasukan polis moral atau nama rasmi, Gasht-e Ershad, ditubuhkan ketika pentadbiran bekas Presiden, Mahmoud Ahmadinejad, dan mula melakukan rondaan pada 2006.

Penubuhan Gasht-e Ershad bertujuan ‘menyebarluaskan budaya sopan dan hijab’, dengan golongan wanita diwajibkan memakai tudung.

Pengumuman mengenai pemansuhan pasukan itu menyusul sehari selepas Montazeri dipetik berkata, ‘kedua-dua pihak Parlimen dan badan kehakiman sedang menangani (isu berkenaan)’ mengenai sama ada undang-undang mewajibkan wanita memakai tudung di Iran, perlu diubah.

Untuk rekod, pemakaian hijab diwajibkan, empat tahun selepas revolusi pada 1979 yang menggulingkan monarki disokong Amerika Syarikat (AS) dan menubuhkan Republik Islam Iran.

Namun, lapor AFP, cara berpakaian wanita di Iran beransur-ansur berubah, terutama ketika pentadbiran bekas Presiden, Hassan Rouhani.

Golongan wanita Iran dikatakan biasa dilihat memakai jean ketat bersama tudung longgar dan berwarna-warni.

Namun, Presiden Ebrahim Raisi yang menggantikan Rouhani pada Julai lalu, mengarahkan semua institusi negara untuk menguatkuasakan undang-undang pemakaian tudung.

Ketika itu, Raisi dilaporkan mendakwa bahawa ‘musuh Iran dan Islam telah menyasarkan nilai agama serta kebudayaan dalam masyarakat, dengan menyebarkan rasuah.’

Baca juga Video budak berpaut belakang lori kini tular di Indonesia 

Baca juga Perut Neelofa nampak lain, ada yang kata beliau mengandung lagi