Sentuh sentimen perkauman dan agama, Ketua Polis Negara bagi amaran hentikan provokasi di sosial media

Isu perkauman dan agama banyak dimainkan di sosial media terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke 15. Isu seperti peristiwa 13 Mei kerap dimainkan anak muda yang tidak tahu akan kejadian sebenar.

Disebabkan hal tersebut Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak menimbulkan situasi atau sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ini berikutan PDRM mengesan tindakan pengguna media sosial memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman atau keagamaan dan menghina institusi diraja susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta pembentukan kerajaan.

“PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” menurutnya dalam kenyataan malam ini. – BERNAMA

Baca Juga: Tersepit di celah batu, lelaki ditemui lemas di Sungai Semungkis

Baca Juga: Anwar PM ke-10: Mengapa tidak cuba untuk lima tahun akan datang?