Dalam hidup ini, sebenarnya macam-macam perkara menarik ada di sekeliling manusia, sehingga sampai satu tahap kita boleh menganggap ia juga sesuatu yang unik.
Baru-baru ini CNN melaporkan, sejenis burung yang dianggap telah pupus selama 140 tahun, ditemui semula di kawasan hutan Papua New Guinea.
Menurut organisasi bukan bermotifkan keuntungan, Re:wild yang membiayai usaha pencarian, burung kuang dinamakan black-naped pheasant-pigeon itu didokumentasikan saintis untuk kali pertama dan terakhir pada 1882.
Pasukan ekspedisinya melakukan pencarian selama sebulan di Pulau Fergusson dalam Kepulauan D’Entrecasteaux, timur perairan Papua New Guinea di mana burung itu pada asalnya ditemui.
Mereka terdiri daripada kakitangan tempatan Muzium Nasional Papua New Guinea dan pasukan saintis antarabangsa daripada Makmal Ornitologi Cornell dan Pemuliharaan Burung Amerika.
Keadaan muka bumi Pulau Fergusson yang bergunung-ganang menjadikan ekspedisi amat mencabar bagi pasukan itu.
Ramai penduduk tempatan memberitahu bahawa mereka tidak pernah melihat burung itu sejak beberapa dekad lalu.
Dua hari sebelum kumpulan saintis itu meninggalkan pulau tersebut, sebuah kamera berjaya merakam burung yang amat jarang ditemui itu.
“Selepas sebulan mencari, melihat gambar pertama burung kuang ini terasa seperti menemui seekor unicorn (kuda mitos).
“Ini adalah detik yang diimpikan sepanjang hidup sebagai ahli pemuliharaan dan pemerhati burung,” kata ketua ekspedisi dan pengarah program burung agensi Pemuliharaan Burung Amerika, John C. Mittermeier.
Bagaimanapun, saintis hanya mengetahui sedikit mengenai burung itu dan mereka percaya populasinya kecil dan semakin berkurang.
Baca Juga: ‘l’Il be back’ – Nurul Izzah bakal kembali!
Baca Juga: Pelajar sekolah rendah paling tua di dunia berusia 99 tahun, meninggal dunia