Stesen minyak jual diesel untuk penyelewengan digantung operasi

  • Post author:

Sebuah stesen minyak di Miri digantung operasi serta-merta kerana menjual diesel bersubsidi kepada sekumpulan lelaki yang disyaki cuba menyeleweng bahan api itu, semalam.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Miri, Joe Azmi Jamil berkata, kegiatan itu dikesan pihaknya yang melakukan Ops Bersepadu bersama anggota Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan Morsjaya, Miri pada 10.30 pagi.

Beliau berkata, ketika operasi, pasukan menahan empat kenderaan pacuan empat roda yang dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan terbabit diubah suai dengan tangki tambahan yang diletakkan pada ruang belakang, disyaki bertujuan untuk penyelewengan diesel bersubsidi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Joe Azmi lagi, lima lelaki warga tempatan berusia 19 sehingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas mereka gagal mengemukakan permit khas KPDNHEP untuk membeli bahan api itu dalam kuantiti yang banyak.

“Semua kenderaan bernilai RM207,000, tiga pam elektrik dan empat tangki tambahan yang mengandungi 1,693 liter diesel bernilai RM3,639.95 disita, menjadikan jumlah keseluruhan barang sitaan RM210,639.95.

“Stesen minyak yang terbabit pula digantung operasinya serta-merta sehingga siasatan kes mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 selesai,” katanya.

Baca Juga: Gara-gara ubah suai tangki minyak bot, 3 lelaki ditahan

Baca Juga: Ada banyak terlibat, Zul Ariffin tak mahu panjangkan kes dan bayar denda RM30,000