Isu ejen jualan kosmetik diculik mengejutkan rakyat Malaysia apabila wanita tersebut diculik di rumahnya di Kampung Semat Jal, Kota Bharu, difahamkan kes penculikan ini terjadi akibat perselisihan faham antara suaminya dengan ahli sindiket dadah.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, suami kepada mangsa yang diculik berusia 36 tahun itu disyaki berselisih faham dengan ahli sebuah sindiket pengedaran dadah sama yang disertai lelaki itu.
Pergaduhan kecil itu menjadi punca utama kepada penculikan mangsa yang kini dipercayai berada dalam keadaan selamat di Thailand.
“Polis telah menjalankan operasi dalam kes itu sebelum menahan tiga suspek termasuk suami mangsa dan seorang wanita semasa mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat semalam.
“Siasatan mendapati, suami mangsa yang berusia 36 tahun bekerja sebagai nelayan manakala dua lagi suspek terlibat dengan kegiatan penyeludupan.
“Dua suspek yang ditahan itu juga dipercayai terlibat dalam insiden melarikan mangsa di rumahnya kelmarin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan turut mendapati suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah manakala seorang lagi suspek tujuh rekod kes sama.
Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa dipercayai mengetahui penglibatan suaminya dalam sindiket pengedaran dadah. Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut lapor Kosmo.
Baca Juga: Jangan buat sebarang spekulasi kehilangan Rosnazirah – Polis
Baca Juga: Parti politik tidak patut campur tangan dalam organisasi media – PH