Subsidi telur ayam naik 8 sen, harga di pasaran kekal

  • Post author:

Kabinet bersetuju supaya harga kawalan telur ayam gred A,B dan C tidak dinaikkan atau diapungkan demi menjaga keperluan rakyat.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

Selain itu Annuar berkata, mesyuarat Kabinet turut bersetuju menaikkan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C daripada tiga sen ketika ini kepada lapan sen.

Katanya, itu bermakna kerajaan perlu menanggung pertambahan subsidi telur ayam kepada lebih RM90 juta setiap bulan.

“Kedua-dua keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan rakyat dan beban peningkatan kos pengeluaran telur ayam yang ditanggung pengeluar serta pengedar.

“Alhamdulillah, Kabinet bersetuju supaya harga kawalan telur gred A,B,C tidak dinaikkan atau diapungkan demi menjaga keperluan rakyat.

“Bagaimanapun, Kabinet mengambil kira kos pengeluaran yang meningkat dan harga kawalan menyebabkan pengeluar kerugian serta terpaksa mengurangkan pengeluaran, sekali gus menyebabkan bekalan berkurangan.

“Bagi mengatasi masalah ini, Kabinet bersetuju menerima syor Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jawatankuasa Jihad Inflasi.

“Syor itu supaya subsidi (telur ayam) sebanyak tiga sen pada masa ini dinaikkan kepada lapan sen. Ini membabitkan tanggungan subsidi oleh kerajaan lebih daripada RM90 juta sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Baca Juga: Doa di ‘tanah kebun’, akhlak adik istimewa ini dipuji netizen

Baca Juga: Wah! Kagum dengan adik ini, kecil-kecil dah pandai makan petai