Tak mahu rakyat marah, PAS tak akan bubar DUN 3 negeri

Tidak mahu terheret dalam kemarahan rakyat, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tuan Ibrahim juga memaklumkan sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai isu pilihan raya yang bakal dibuat dalam musim banjir.

“Isu kita di sini ialah rakyat marah dengan pembubaran Parlimen sekarang, dan kita tak mahu terheret sama dengan kemarahan rakyat jika kita membubarkan DUN.

“Kita juga perlu konsisten, malah kita sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan tidak bersetuju jika pilihan raya dibuat pada musim banjir,” katanya dalam wawancara dengan HarakahDaily, semalam.

Justeru, beliau menegaskan jika DUN tiga negeri itu dibubarkan nanti, ia akan bercanggah dengan apa yang sudah diputuskan.

“Oleh itu, kita konsisten dengan keputusan harian bahawa tiga DUN di tiga negeri terbabit tidak akan dibubarkan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membubarkan pada waktu ini.

“Soal kos dan sebagainya, kita akui tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar (Parlimen) pada waktu ini? Rakyat susah, kalau banjir berlaku.

“Kemudian sekolah akan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir. Kita bimbang, takut-takut kemarahan rakyat sekarang sangat ketara,” katanya.

Baca Juga: Bekas ahli MPT Bersatu, Rais Hussin sertai PKR

Baca Juga: Bagaikan diserang dari setiap penjuru – Terus siap sedia hadapi kemungkinan hujan lebat, ancaman banjir