Datuk Mohd Kazim Elias yakin larangan untuknya berceramah agama di Pulau Pinang ada kaitan dengan pengumuman awal namanya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, beliau tidak pernah memakai baju dengan logo mana-mana parti politik sepanjang 32 tahun mengadakan ceramah agama, sekali gus pengumuman namanya sebagai calon BN sebelum ini mungkin menyebabkan ada pihak terkejut.
“Ketika itu perihal tauliah tidak menjadi isu, cuma baru sekarang ditimbulkan, jadi saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang kerana sepanjang berceramah bermula 1995 sampai sekarang, saya berceramah tanpa tauliah,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Darul Barakah, Manjoi di sini, hari ini.
Jelasnya, dia menyampaikan kuliah dan ceramah agama di seluruh Pulau Pinang sejak 1995 membabitkan majlis anjuran pelbagai jabatan dan agensi, masjid, surau, komuniti, kaum dan sebagainya.
Namun, penceramah yang sinonim dengan Kompleks Al Barakah di Manjoi tersebut menghormati keputusan larangan dibuat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan mengakui tidak mempunyai tauliah untuk berceramah di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu.
“Tidak ada sebab untuk saya membantah, melawan dan sebagai warga Malaysia yang bertanggungjawab saya kena patuh peraturan ini,” jelasnya.
Pada 2 November lalu, Kazim menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut yang sepatutnya akan menentang Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang-Berjasa), Zolkharnain Abidin (PH-AMANAH) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Bersatu).
Kazim menambah dia hanya ada tauliah mengajar di Perak dan Wilayah Persekutuan saja.
“Saya sudah berumur 50 tahun, jadi saya rasa cukup tauliah di dua negeri ini saja.
“Kalau tidak ada jemputan, saya buat ceramah secara dalam talian saja seperti di Facebook, YouTube dan Tiktok kerana tidak perlukan tauliah,” katanya lagi.
Baca juga Pecah masuk dan makan biskut yang baru dibakar, beruang comel jadi perhatian
Baca juga Ejen Mossad ke? – Ini sangat memalukan geng ‘hailak’