Tak pertimbang nama calon yang diberikan, Shahidan gesa Ahmad Zahid lepaskan jawatan

Tidak habis isu calon yang menarik diri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini dilabel sebagai pembohong oleh Datuk Seri Shahidan Kassim kerana tidak mempertimbangkan senarai nama calon yang diserahkan oleh bahagian untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Ahmad Zahid juga dianggap mungkir janji dan tidak menjalankan amanah yang diberikan kepadanya untuk memilih calon berdasarkan pertimbangan kepimpinan tertinggi parti atau Top 5 lapor Utusan.

Tegas Shahidan, beliau secara peribadi tiada masalah sekiranya tidak dipilih untuk bertanding, namun calon penggantinya itu mestilah seorang yang boleh membawa kemenangan kepada parti.

“Kalau calon boleh menang saya tiada masalah, bukannya calon mesin padi dan tidak pernah jejak kaki ke bahagian,” katanya.

Lepaskan jawatan Presiden UMNO

Dalam pada itu, Shahidan turut menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatannya dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menerajui parti Melayu itu dalam PRU15.

“BN akan kembali pulih kalau Zahid berhenti dan tak bertanding (dalam PRU15). Disebabkan seorang yang gila untuk jadi calon, habis rosak Perlis,” katanya.

Tambah Shahidan, calon penggantinya itu juga pernah berhubung bagi memaklumkan untuk bertanding di Parlimen Arau namun ia tidak mendapat restu di peringkat bahagian.

“Saya lebih memilih calon pengganti yang ada memegang jawatan, ini langsung tiada jawatan dalam bahagian,” katanya.

Baca Juga: PRU-15: PKR umum Hasni Abas calon di Parlimen Sembrong

Baca Juga: Ustaz Kazim tidak jadi bertanding, tarik diri sebagai calon BN