Tak sempat mencuri gara-gara terlebih dos dadah

  • Post author:

Seorang penjenayah tertangkap di kedai makan yang dicerobohnya di Johan Setia, Rabu lalu akibat tertidur kerana terlebih dos dadah yang diambilnya sebelum lakukan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat pemilik kedai makan berkenaan yang memaklumkan pintu belakang premisnya telah diumpil kira-kira jam 8.30 pagi dan terdapat seorang lelaki dalam keadaan terbaring.

Menurutnya, bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis dari cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, telah membuat tangkapan semula terhadap seorang lelaki tempatan di lokasi kejadian.

“Semasa tangkapan dibuat, suspek didapati telah cedera di bahagian kepala, muka dan badan dipercayai telah dipukul oleh orang awam yang berada di kawasan kejadian.

“Suspek berusia 23 tahun itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi pemeriksaan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian suspek masuk melalui pintu bahagian belakang kedai dengan cara mengumpil pintu.

“Suspek telah masuk ke dalam kedai dengan niat untuk mencuri namun dia telah tertidur kerana terlebih dos dadah yang diambilnya sebelum kejadian.

“Bagaimanapun, tiada barangan yang hilang di dalam kedai terbabit,” ujarnya.

Tambahnya, semakan turut mendapati suspek memiliki rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Baca Juga: ‘Mereka layak bawa nama V.E’ – Lah Ahmad beri sokongan sepenuhnya

Baca Juga: Luar biasa! Lautan manusia banjiri pekarangan rumah Shah Rukh Khan sempena hari lahir aktor itu