Masih lagi tidak tetap keputusan mengenai penggunaan logo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Pas dilihat tidak memiliki kesepakatan yang kuat dengan sekutu-sekutu mereka dalam Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, segala yang terjadi itu juga jelas menunjukkan betapa Pas tidak memiliki pendirian yang tetap dalam perjuangan mereka lapor Utusan.
“Mereka ini tak tetap pendirian, sekejap boleh jadi begitu dan sekejap lagi jadi begini. Tentang logo mana yang boleh menarik perhatian pengundi dan rakyat pun mereka tak ada pendirian.
“Terpulanglah kepada mereka tetapi ini gambaran jelas yang mereka sendiri tidak ada kesepakatan dalam PN hingga perlu menggunakan lambang berbeza di negeri tertentu.
“Tindakan menggunakan lambang ‘bulan’ di sesetengah negeri dan lambang PN di negeri yang lain menunjukkan betapa gabungan disertai Pas itu rapuh.
“Ini sama sekali berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang hanya menggunakan satu lambang sekali gus menunjukkan kesepakatan kami,” katanya.
Sementara itu, Mahfuz berkata, jentera PH ketika ini sedang berusaha keras bagi memastikan kesemua 15 kerusi Parlimen dalam negeri ini menjadi milik mereka.
“Pada PRU14, PH menang 10 kerusi Parlimen dan kali ini kami akan pastikan supaya memperoleh pertambahan kerusi. Kami bukan sekadar hendak menang sikit-sikit tetapi nak menang kesemua 15 kerusi di Kedah.
“Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kata mereka mahu menang 10 dan itu menunjukkan yang BN tak yakin untuk menang lima lagi kerusi. Kami akan gerakkan usaha untuk menangkan calon PH di semua kerusi Parlimen,” katanya.
Baca Juga: DAP bertanding empat kerusi Parlimen di Pahang
Baca Juga: Gugur jantung tengok video kanak-kanak bermain dekat tebing tingkap, netizen bengang ibu bapa cuai