“Tanpa kami warga asing, Malaysia hanyalah setaraf Kemboja!” – Pemilik kedai makan warga Vietnam melenting bila ditanya sijil Halal

Selepas kontroversi Makcik Kemboja, netizen dikejutkan pula dengan keceluparan seorang Makcik Vietnam yang bukan sahaja menghina orang Melayu dan agama Islam, malah dilihat memperlekehkan Raja-Raja Melayu. “Rakyat Malaysia bermentaliti rendah, patutlah Singapura pun keluar.”

Kejadian memeranjatkan ini dikongsi oleh Ahmad Zul di laman Twitter pada 27 Januari 2024 selepas berinteraksi dengan seorang wanita bernama Na Tran di Facebook. Na Tran mengakui dirinya adalah pemilik kedai makan bertema Vietnam, Wow Roti di Plaza Sungei Wang.

Ahmad Zul memilih sajian Vietnam untuk sambutan hari lahir anaknya dan tertarik dengan promosi Wow Roti di Facebook. Perbualan santai antara Ahmad Zul dan Na Tran bertukar menjadi tegang apabila ditanya tentang status halal premis perniagaannya.

“Kamu nak makanan tanpa babi kan? Kenapa sibuk sangat nak tahu tentang sijil halal bedebah tu kalau aku sebagai pemilik dah bagitahu makanan aku tak ada babi? Kamu ingat aku suka-suka nak bagi pelanggan Muslim aku makan babi?” tanya Na Tran.

Na Tran kemudian menyindir sikap bangsa Melayu yang terlalu cerewet memikirkan soal halal-haram makanan dan berkata sajian mengandungi babi sebenarnya lebih lazat. “Aku tahu ramai Muslim di Malaysia makan babi secara sorok-sorok sebab rasanya enak,” sindirnya.

Ahmad Zul yang terkejut dengan kebiadaban warga Vietnam itu kemudian cuba mengorek tentang status Na Tran di Malaysia. “Kalau aku warga asing pun apa kena-mengena dengan kamu? Aku berstatus sah dan ada dependent pass. Aku berhak menyuarakan pendapat aku,” jawabnya marah.

Ahmad Zul kemudian memaklumkan kepada wanita itu bahawa dia tidak dibenarkan berniaga di Malaysia, apatah lagi membuat komen sensitif. “Kamu siapa nak soal siasat aku macam ni? Tiada siapa pun berhak mempersoalkan warga asing, termasuklah Raja-Raja Melayu!” ujarnya lagi.

Na Tran mendakwa Malaysia adalah sebuah negara bebas dan semua warga asing berhak menjalankan perniagaan mereka tanpa sebarang masalah. “Kami juga membantu membangunkan Kuala Lumpur. Tanpa kami warga asing, Malaysia hanyalah setaraf Kemboja!” tulisnya.

Na Tran juga menyifatkan kebanyakan warga Malaysia bermentaliti rendah, dan mendakwa ia menjadi punca Singapura mahu berpisah dari Malaysia. “Pihak berkuasa pun tak melebih-lebih nak tanya aku. Kamu siapa nak melebih-lebih?” soalnya angkuh.

Ahmad Zul yang kebingungan dengan kelancangan wanita Vietnam ini kemudian bertanya seandainya dia sedang mabuk. “Mak engkau tu yang mabuk!” jawabnya dengan emoji ketawa terbahak-bahak. Na Tran mencabar lelaki itu membuat laporan sambil menekankan dia tidak takut.

“Mereka tak boleh buat apa-apa pun. Suami aku ada hubungan baik dengan pegawai DBKL,” sambungnya. Na Tran seterusnya bertanya seandainya Ahmad Zul seorang berbangsa Melayu. “Kalau Melayu, pergilah berambus jual burger Ramly meleleh, lembik, geli-geleman kamu tu,” katanya.

Umum mengetahui burger Ramly menjadi ikon makanan segera rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa – malah pernah dipuji warga asing dalam rancangan antarabangsa. Namun tidak untuk Na Tran: “Macam manalah kamu boleh telan burger buat tepi longkang tu?”

“Kamu tanya aku tentang pihak berkuasa kan? Tapi kenapa pihak berkuasa kamu tak ambil tindakan terhadap penjual burger Ramly? Burger kamu jauh panggang dari api berbanding Banh mi Vietnam lazat kami yang disediakan dalam keadaan bersih,” tulisnya lagi.

Selepas burger Ramly, Na Tran dengan angkuh menghina nasi lemak yang menurutnya ‘boring’ dan tidak mencapai piawaian standard yang tinggi untuk memikat rasa pelancong asing. “Aku ada jual nasi lemak dalam menu tapi hanya untuk DISPLAY. Aku pun tak cadangkan pelanggan beli.”

Sebelum menyekat Ahmad Zul, Na Tran sempat menitipkan beberapa penghinaan terakhir: “Tiada pelajaran, tiada kelayakan, tiada skil dalam bisnes, selayaknya kamu semua jadi pemandu seumur hidup. Kalau tak nak kerja tu, marilah datang Vietnam kerja cuci jamban, nak tak?”

Tidak menyedari tindakannya bermain dengan api, Na Tran kemudiannya mula cemas selepas mendapati akaun Facebooknya mula diserang netizen tempatan. “Itu akaun palsu yang menyamar sebagai saya. Saya cuma ada satu akaun. Itu akaun palsu. Tolong saya!” tulisnya.

Namun ada yang berpendapat, perbualan Ahmad Zul dengan ‘Na Tran Palsu’ itu sebenarnya adalah dengan pemilik sebenar Wow Roti, seorang warga tempatan. “Guys, cuba tengok cara Na Tran Real dengan Na Tran Fake tulis. Tak sama langsung. Jarang Vietnam fasih BI,” komen Felisa.

Baca juga: Ayam masak berlado sedap makan dengan nasi panas, nak lagi sedap jangan skip letak bahan rahsia ni