Terkejut lihat wanita hamil jatuh ke dalam laut, nasib kaki pancing sempat selamatkan

  • Post author:

Terkejut melihat wanita jatuh diiringi bunyi kuat menyebabkan kaki pancing yang berada di bawah Jambatan Pulau Pinang segera untuk membantu wanita yang ternyata sedang hamil 6 bulan daripada lemas dibawa arus.

Wanita itu ditemui hampir lemas dibawa arus berdekatan tiang 32 dan nasib baik kejadian itu disedari oleh seorang pemandu bot pancing yang sedang merapatkan bot pada tiang berkenaan kira-kira pukul 6.45 petang Ahad lalu.

Mohd. Sobri Karim, 37, berkata, dia terkejut apabila mendapati seorang wanita terjatuh di tengah-tengah iaitu antara bot dan tiang jambatan.

“Bunyi sangat kuat. Ketika itu, terdapat seramai empat orang kaki pancing berada di atas bot. Saya nampak jelas wanita itu dalam keadaan tenggelam timbul dan hampir lemas dibawa arus.

“Saya pantas meminta pemancing melepaskan tali penambat bot ke arah wanita itu lalu melilit tangannya. Kami berjaya mengangkatnya naik ke atas bot.

“Sebaik dibawa naik, saya terkejut melihat wanita dalam lingkungan umur 20-an dan berpelitup muka itu rupanya sarat mengandung dipercayai enam bulan.” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Sobri turut memaklumkan wanita tersebut hanya meracau dan menangis sepanjang dibawa ke Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu di Batu Uban

Wanita tersebut telah diserahkan kepada anggota anggota polis dan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba ke situ sebaik dihubungi semasa dalam perjalanan.

Baca Juga: Bayar jurugambar sampai RM1699, wanita kecewa gambar gegar pun masuk album

Baca Juga: Pemandu lori penyebab dua rentung dalam kejadian kereta terbakar, sudah ditahan