Terpedaya dengan taktik Macau scam, ejen hartanah kerugian lebih RM7.74 juta!

  • Post author:

Kerugian lebih RM7.74 juta! Ibarat mimpi ngeri buat seorang ejen hartanah apabila dia terjerat dengan taktik baharu sindiket Macau scam yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Mangsa wanita berusia 66 tahun tampil membuat laporan polis kira-kira jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai Bahagian Khidmat Pelanggan KKM Cawangan Putrajaya, 18 Mei lalu.

Amihizam berkata, suspek menyatakan bahawa terdapat 52 dos vaksin Sinovac dimohon atas nama mangsa secara tidak sah dan satu tindakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak KKM.

“Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai ‘polis’ yang mana dalam perbualan itu, suspek memaklumkan bahawa terdapat waran tangkap atas nama mangsa kerana terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

“Mangsa dinasihatkan supaya membuka tujuh akaun bank baharu dan menyerahkan kesemua maklumat akaun itu kepada suspek. 

“Suspek turut mengarahkan mangsa membuat transaksi pemindahan wang simpanannya berjumlah RM7,739,356 ke dalam tujuh akaun berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Menurut Amihizam lagi, selepas transaksi berjaya, mangsa membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan dimaklumkan bahawa terdapat transaksi pengeluaran dari tujuh akaun itu.

Katanya, mangsa tidak berpuas hati dan rasa tertipu kerana transaksi pengeluaran dilakukan tanpa pengetahuannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon individu yang tidak dikenali dan pastikan membuat semakan dengan agensi berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat transaksi pemindahan wang.

“Orang ramai juga diingatkan tidak mendedahkan data peribadi serta membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

“Sebarang panggilan atau laporan boleh dilakukan di CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan,” katanya.

Baca Juga:

Baca Juga: