Terus mendapat sambutan, Royal Floria Putrajaya 2022 akan disambung hingga 6 September depan

  • Post author:

Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 yang sepatutnya melabuhkan tirai pada Ahad ini iaitu 4 September 2022, akan dilanjutkan dua hari lagi untuk orang ramai yang masih tidak berpeluang mengunjungi festival berkenaan.

Bertemakan ‘Floria Hebat’ dengan orkid sebagai bunga tema, edisi terkini Festival Bunga dan Taman itu menghimpunkan kira-kira 10,000 orkid yang dipamerkan dengan lebih daripada 400,000 pokok pelbagai spesies.

Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi Facebook rasminya memaklumkan, atas sambutan yang amat menggalakkan dari para pengunjung bermula 29 Ogos lalu, Putrajaya memutuskan untuk melanjutkan sehingga 6 September depan.

Badan itu juga mengambil kira minggu cuti sekolah yang akan bermula esok iaitu Sabtu ini.

“Ayuh beramai-ramai ke Floria Diraja Putrajaya 2022 bersama keluarga dan kenalan,” katanya.

Untuk info, tiket masuk ke Floria Diraja Putrajaya 2022 boleh ditempah secara dalam talian di laman sesawang https://floria.putrajaya.my/.

Floria Diraja Putrajaya 2022 dirasmikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 29 Ogos lalu.

Baca juga: Bunuh rakan senegara, tukang cuci dihadapkan ke mahkamah

Baca juga: Demam dan batuk, Shila Amzah mohon maaf buang gula-gula atas pentas untuk kali kedua