Tiada kes penculikan dan jual organ, PDRM nafi mesej tular di media sosial

Sejak beberapa hari ini media sosial seperti WhatsApp penuh dengan perkongsian mengenai kes penculikan kanak-kanak. Namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak dakwaan tersebut dan menyatakan ia adalah palsu dan tidak benar.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, mesej yang tersebar itu menyatakan kanak-kanak tersebut akan dilarikan ke negara jiran untuk pemindahan organ.

“Mangsa dikatakan diberi bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak mampu bercakap untuk memudahkan mereka dilarikan menaiki lori ayam ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.

“Mesej tersebut juga didakwa bahawa pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam orang kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Skandaguru, semakan mendapati mesej palsu tersebut tular di media sosial sejak tahun 2017 dan kini kembali diulang siar serta menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita yang tidak sahih kepada orang ramai.

“PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dan menyebarkan berita-berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya,” jelasnya.

Baca Juga: Polis jumpa mayat wanita terperangkap dalam kereta

Baca Juga: Permata dunia kembali ke rahmatullah